PENJAGAAN SI MANJA SELEPAS SURGERI

 

Kebanyakan kucing hanya alami satu pembedahan dalam hidupnya iaitu jika bernasib baik akan dikasikan atau dimandulkan sahaja. Tetapi seperti kucing yang mendapat penjagaan yang lebih baik serta ujian diagnosis lebih awal oleh si pemilik, haiwan manja ini juga mungkin berdepan beberapa pembedahan bagi situasi yang berbeza. Sebagai contoh, pembedahan akibat kemalangan, batu karang, dan lain – lain.

Oleh itu, pernah tak anda alami bila bawa kucing pulang dari surgeri di klinik veterinar, secara tiba – tiba terlintas satu soalan iaitu bagaimana hendak uruskan atau jaga kucing kesayangan di rumah dalam keadaan yang sedang beransur pulih? Mungkin anda sedikit ‘cuak’ kerana tidak pernah ada pengalaman mahupun tidak begitu mahir dalam mengendalikannya dengan cara yang betul.

Surgeri adalah satu prosedur yang dilakukan kepada haiwan kesayangan (kucing atau anjing) dalam keadaan bius sama ada bius penuh (GA) atau separa sedar (LA). Terdapat dua jenis surgeri yang dilakukan pada mana – mana klinik atau hospital haiwan iaitu”

  1. Prevention ( langkah penjagaan ) seperti pemandulan ( jantan dan betina), dental scaling ( pembersihan gigi ). Prosedur tersebut dilakukan bukan atas dasar penyakit atau kecemasan, ianya lebih kepada penjagaan dan pencegahan penyakit.
  2. Kecemasan atau penyakit. Contohnya, kemalangan hinga menyebabkan patah kaki, tulang pinggul, pundi kencing pecah, rahang patah. Disebabkan penyakit pula seperti tumor pada kelenjar susu, batu karang, tercekik tulang ataupun objek asing, maggot wound ( luka membusuk dan berulat ).

Bagi surgeri yang melibatkan pencegahan, ia bukanlah satu prosedur yang mendesak mengikut tempoh waktu kerana tidak melibatkan nyawa dan kesihatan sedia ada.

Namun, bagi surgeri kecemasan dan penyakit, pembedahan perlu dilakukan segera kerana mempunyai kesan buruk jika melepasi tempoh waktu sepatutnya. Sama ada boleh menggugat nyawa atau menyebabkan keadaan pesakit lebih kritikal sehingga merebak jangkitan ke bahagian atau organ lain.

RISIKO TAK DIJANGKA

Buat pengetahuan pemilik kucing, semua surgeri boleh mendatangkan risiko sama ada semasa pembedahan atau selepas surgeri, namun risiko tersebut boleh dikurangkan sekiranya penjagaan selepas pembedahan dilakukan sebaiknya.

Contohnya, antibiotik dan ubat – ubatan lain yang diberikan perlu dihabiskan mengikut tempoh masa ditetapkan. Jadi, pemilik perlu memastikan kucing mereka mengambil ubat seperti yang dijadualkan oleh doktor, biarpun keadaan kucing tersebut aktif dan beransur pulih.

Jika terdapat surgeri yang melibatkan pembedahan pada tisu, kulit serta luka yang besar, anda wajib ambil kira beberapa perkara penting ini.

  1. Pastikan kucing anda makan, jika perlu paksa dengan syringe feed. Sekurang – kurangnya 7 – 10 ml makanan lembut (prescription diet) 2 kali sehari. Kenapa perlu makan? Sebab mereka perlu mengambil ubat. Jadi makan boleh mengelakkan gastritis dan juga bertindak sebagai sumber tenaga untuk sembuh.
  2. Ubat diberikan ikut preskripsi doktor. Wajib habiskan antibiotik.
  3. Bersihkan luka setiap hari dengan ubat cucian yang diberikan seperti ubat cuci luka, iodine dan krim jika ada.
  4. Luka yang dibalut atau dibiarkan terbuka bergantung kepada jenis luka dan pembedahan. Doktor akan menyarankan bagaimana cara untuk pelihara kawasan surgeri itu.
  5. Bagi surgeri yang mudah dan lukanya kecil sahaja, selalunya tempoh sembuh lebih cepat dalam anggaran 10 hingga 14 hari. Jika lukanya besar dan terbuka luas, ia mengambil masa 14 hari ke sebulan untuk sembuh serta mengecil semula. Sekali lagi, ia bergantung kepada immuniti kucing dan cara penjagaan luka yang betul.
  6. Pakaian E – collar pada leher kucing agar mereka tidak menggigit, menjilat atau mencakar luka jahitan.
  7. Pastikan anda bawa kembali untuk review post – operation ke klinik berkenaan. Kebanyakkan doktor hendak pastikan progress recovery pesakit mereka menunjukkan keputusan seperti yang diharapkan.
  8. Dalam tempoh rawatan selepas surgeri, pastikan anda kurung kucing di dalam sangkar. Disarankan, jangan lepaskan keluar sangkar atau rumah kerana kita tidak mahu jahitan tertetas atau luka lambat kering dan sembuh.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan behaviour kucing anda boleh diajukan melalui Facebook: i Vet Petcare, Instagram: ivetpetcare atau datang melawat kami di klinik. Kehadiran anda dan si comel amatlah dialu-alukan.

iVET PETCARE Seksyen 23, Shah Alam (03-55453560)

iVET PETCARE Alam Avenue 2, Shah Alam (03-55243560)

iVET PETCARE Bandar Kinrara 5, Puchong (03-80822076)

iVET PETCARE Keramat, Kuala Lumpur (03-42654115)

iVET PETCARE Petaling Jaya (03-79323528)